Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

PERLEMBAGAAN
PERSATUAN BEKAS PENGETUA-PENGETUA
SEKOLAH MENENGAH KELANTAN

Fasal 1
Fasal 2
Fasal 3
Fasal 4
Fasal 5
Fasal 6
Fasal 7
Fasal 8
Fasal 9
Fasal 10
Fasal 11
Fasal 12
Fasal 13
Fasal 14
Fasal 15
Fasal 16
Fasal 17
Fasal 18


Fasal 1

NAMA

Persatuan ini dikenali dengan nama “PERSATUAN BEKAS PENGETUA-PENGETUA SEKOLAH MENENGAH KELANTAN“ dan selepas ini disebut sebagai “PERSATUAN“ sahaja.

Fasal 2

TEMPAT URUSAN

Alamat dan tempat urusan persatuan ialah:
Lot 2206, Jalan Pasir Hor,
15100 Kota Bharu, Kelantan.


atau di tempat lain atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa; dan alamat untuk surat menyurat ialah:

Lot 2206, Jalan Pasir Hor,
15100 Kota Bharu, Kelantan.


Tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Persatuan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

Fasal 3

TUJUAN

3.1. Mempereratkan dan menyatukan hubungan antara bekas Pengetua- Pengetua Sekolah Menengah di negeri Kelantan yang di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia

3.2. Menggalakan perkembangan pengetahuan dan kemahiran ahli-ahli Persatuan melalui program-program tertentu.

3.3. Membantu Jabatan Pendidikan negeri melalui kepakaran profesional yang ada di kalangan ahli-ahli Persatuan.

3.4. Melibatkan ahli-ahli Persatuan dalam aktiviti-aktivti yang berkaitan dengan pendidikan di dalam masyarakat dan badan-badan yang diiktiraf oleh kerajaan.

3.5. Menjaga kepentingan dan kebajikan ahli-ahli.

3.6. Persatuan ini boleh bergabong dengan mana-mana persatuan lain yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan yang mempunyai tujuan yang sama.

3.7. Mengisi tabung kewangan Persatuan melalui aktiviti tertentu dengan persetujan Mesyuarat Agung serta kebenaran Pendaftar Pertubuhan dan pihak berkuasa tertentu.

Fasal 4
KEAHLIAN

4.1. Ahli Biasa
Keahlian Persatuan ini terbuka kepada semua bekas Pengetua sekolah menengah di negeri Kelantan yang di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia sama ada masih berkhidmat atau sudah bersara dan terbuka kepada lelaki dan perempuan tanpa mengira kaum, agama dan bangsa asalkan mereka warga negara Malaysia


4.2. Ahli Bersekutu
Ahli Bersekutu terbuka kepada Penolong-Penolong Kanan yang bersara di Sekolah Menengah di negeri Kelantan

Ahli bersekutu layak menikmati keistimewaan seperti ahli biasa tetapi tidak berhak untuk mengundi atau memegang sebarang jawatan dalam Persatuan.

4.3. Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh dua orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dihendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

4.4. Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk dan yuran seumur hidup seperti yang ditetapkan diterima menjadi ahli Persatuan dan berhaklah ia sebagai ahli.
Fasal 5

YURAN

Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:

5.1. Yuran Masuk RM10.00 ( Sepuluh Ringgit)
5.2. Yuran Seumur Hidup RM50.00 (Lima Puluh Ringgit)
5.3. Yuran hendaklah dijelaskan kepada Bendahari dan resit akan dikeluarkan
5.4. Sumbangan khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli ahli.Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang.

Fasal 6

 

PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

6.1. Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Persatuan hendaklah memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya.
6.1. Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh sebagimana yang difikirkan menasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.

Fasal 7

MESYUARAT AGUNG DWI -TAHUNAN PERSATUAN

7.1. Pentadbiran Persatuan ini terserah kepada mesyuarat agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu pertiga(1/3) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali ganda jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam masyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.
7.2. Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Persatuan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

7.3. Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan bagi Persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31 Julai pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja mesyuarat agung dwi-tahunan ialah:-

(a) menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Persatuan di dalam 2 tahun lalu;
(b) menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi 2 tahun yang lalu;
(c) memilih ahli-ahli Jawatankuasa dan pemeriksa kira-kira untuk 2 tahun yang akan datang; dan
(d) menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

7.4. Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-taip ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan diadakan satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Persatuan bagi 2 tahun yang lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk di baca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Persatuan.

7.5. Mesyuarat Agung Khas bagi Persatuan ini boleh diadakan:
(a) bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau
(b) atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Persatuan.

7.6. Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

7.7. Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

7.8. Fasal 7.1 dan 7.2 di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

7.9. Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu deraf peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.

Fasal 8
JAWATANKUASA

8.1. Satu Jawatankuasa seperti berikut yang namakan Pegawai Persatuan hendaklah dipilih dalam Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan:

Seorang Yang Dipertua
Seorang Timbalan Yang Dipertua
Seorang Naib Yang Dipertua
5 orang ahli Jawatankuasa.

8.1.1. Yang Dipertua dengan persetujuan ahli jawatankuasa yang dipilih boleh melantik 3 orang ahli untuk menjadi ahli Jawatankuasa Persatuan

8.1.2. Setiausaha, Bendahari dan Pen.Setiausaha dilantik dari kalangan ahli Jawatankuasa oleh Yang Dipertua dengan persetujuan Jawatankuasa.

8.2. Pemegang-Pemegang jawatan Persatuan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Persatuan ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia.

8.3. Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan. Semua pegawai boleh dipilih semula tiap-tiap 2 tahun.

8.4. Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam 2 tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan.

8.5. Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli Jawatankuawa 7 hari terlebih dahulu. Yang Dipertua dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

8.6. Jika sekiranya timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan dari ahli-ahli jawatankuasa dengan mengedar surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh di anggap sebagai telah diterima:

(a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa;

(b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan

(c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.

Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

8.7 Ahli Jawatankuasa yang tidak hadir mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan dengan secara automatik disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

8.8. Jika seseorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan atau dilucutkan keahliannya, Yang Dipertua dengan persetujuan ahli Jawatankuasa boleh melantik mana-mana ahli untuk mengisi kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan diadakan.

8.9. Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan Pegawai-Pegawai lain untuk menjalankan urusan Persatuan dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan.

8.10. Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan perlu dan memberi tugas-tugas tertentu kepada Jawatankuasa kecil tersebut.

Fasal 9
TUGAS-TUGAS PEGAWAI

9.1. Yang Dipertua, dalam tempoh menyandang jawatannnya hendaklah menjadi Pengerusi semua mesyuarat agung dan semua mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Dia mempunyai undi pemutus dan akan menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Dia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Setiausaha dan Bendahari.

9.2. Timbalan Yang Dipertua akan memangku jawatan Yang Dipertua semasa ketiadaanya. Demikian juga Naib Yang Dipertua akan menjalankan tugas Timbalan Yang Dipertua semasa ketiadaannya.

9.3. Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Persatuan mengikut Perlembagaan Persatuan dan hendaklah ia menjalankan perintah mesyuarat agung dan Jawatankuasa. Dia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Dia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Dia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Yang Dipertua dan Bendahari. Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan diadakan mengirimkan penyata dwi- tahunan Persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan 1966.

9.4. Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerja dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

9.5 Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Dia hendaklah menendatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Yang Dipertua dan Setiausaha.

9.6. Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.
Fasal 10

KEWANGAN

10.1. Tahun kewangan Persatuan ini bermula daripada 1 Januari dan berakhir 31 Disember setiap tahun.

10.2. Tertaluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfeadah bagi menjalankan tujuan-tujuan

Persatuan, termasuk:-

(a) Perbelanjaan untuk pentadbiran

(b) Bayaran gaji atau saguhati kepada Pegawai atau kakitangan Persatuan

(c) Bayaran kepada juruaudit

(d) Bayaran kerena aktiviti-aktiviti Persatuan

Walau bagaimanapun wang itu tidak boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

10.3. Semua wang Persatuan hendaklah dimasukkan ke dalam bank yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.

10.4. Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 100.00 ( Satu Ratus Ringgit ) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang telah Jawantankuasa.

10.5. Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh Yang Dipertua, Setiausaha dan Bendahari. Semasa ketiadaan Yang Dipertua, Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangi cek atau kenyataan pengeluaran wang Persatuan.

10.6. Perbelanjaan yang lebih daripada RM500.00 ( Lima Ratus Ringgit) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM10,000.00 ( Sepuluh Ribu Ringgit) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran mesyuarat agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 200.00 (Dua Ratus Ringgit) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Yang Dipertua bersama Setiausaha dan Bendahari

10.7. Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira yang dilantik di bawah Fasal 11 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Persatuan.

10.8. Persatuan boleh menerima sumbangan wang daripada badan-badan lain atau orang-orang perseorangan

10.9. Persatuan boleh melabor wangnya di mana-mana institusi setelah mendapat persetujuan Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan Persatuan dan kebenaran bertulis dari Pendaftar Pertubuhan.

Fasal 11
JURUAUDIT

11.1. Dua orang yang bukannya Pegawai Persatuan boleh dipilih di dalam Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan sebagai Juruaudit Mereka akan memegang jawatan selama dua tahun dan boleh dipilih semula.

11.2. Juruaduit adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi tempoh 2 tahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Yang Dipertua mengaudit kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.
Fasal 12
PERLANTIKAN PEGAWAI-PEGAWAI DI BAWAH SEKSYEN 9 (B) AKTA PERTUBUHAN 1966

12.1. Tiga Pegawai terdiri daripada pemegang-pemegang jawatan dan berusia lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik dalam Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan bagi maksud Seksyen 9(b) Akta Pertubuhan 1966.

12.2. Mereka hendaklah memegang jawatan mereka sehingga tempoh bagi mereka memegang jawatan selama tahun berakhir di Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan akan datang dan mereka layak untuk dipilih semula.

12.3. Pegawai-pegawai yang dilantik di bawah undang-undang ini hendakalah mengurus harta tetap Persatuan sebagaimana yang dikehendaki oleh mesyuarat agung tetapi semua harta tetap Persatuan hendaklah didaftar atas nama persatuan.

12.4. Mereka tidak boleh menarik balik atau menukarkan harta kepunyaan Persatuan dengan tidak ada persetujuan dan kuasa yang diberikan oleh mesyuarat agung ahli-ahli.

12.5. Seorang pegawai yang diperakukan boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh mesyuarat agung oleh sebab uzur kerana sakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana lain-lain sebab yang menyebabkan ia tidak boleh menjalankan tugasnya atau pekerjaannya tidak memuaskan. Jika berlaku kematian, letak jawatan atau pembuangan bagi seorang pegawai yang diperakukan sebelum Mesyuarat Agung Dwi-Tahunan maka kekosongan itu bolehlah di penuhkan oleh Mesyuarat Agung Khas yang diadakan untuk tujuan tersebut.
Fasal 13
TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

13.1. Di antara berlangsungnya mesyuarat agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.

13.2. Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan mesyuarat agung.
Fasal 14
PENASIHAT/PENAUNG

Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak menjadi Penasihat/Penaung bagi Persatuan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.
Fasal 15
LARANGAN

15.1. Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Persatuan: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin Belangai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib.

15.2. Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang- barang atau mengambil peranan di dalam gerakan kesatuan sekerja seperti definasi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959.

15.3. Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Persatuan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.

15.4. “Faedah“ seperti yang ditafsirkan di bawah seksyen 2 Akta Pertubuhan, 1966 tidak boleh diberi oleh Persatuan kepada mana-mana ahli.

15.5. Mana-mana orang tidak boleh memegang jawatan dalam pertubuhan, menjadi penasihat atau pekerja pertubuhan jika ia telah hilang kelayakan menurut seksyen 9A Akta Pertubuhan, 1966.

15.6. Pegawai-pegawai Persatuan ini tidak boleh memegang sebarang jawatan di dalam mana-mana pertubuhan politik.
Fasal 16
PINDAAN LUNDANG-UNDANG

Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.
Fasal 17
PEMBUBARAN

17.1. Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu mesyuarat agung dipanggil khas kerananya.

17.2. Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam mesyuarat agung berkenaan.

17.3. Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.
Fasal 18
PENTADBIRAN PREMIS

18.1. Mempamerkan Sijil Pendaftaran Persatuan yang asal di
dalam premis di tempat yang mudah dilihat.

18.2. Membuat papan tandanama serta mempamerkannya di bahagian hadapan luar premis dengan nombor pendaftaran dicatatkan bersekali.

18.3. Mempamerkan kenyataan (di tempat yang bersesuaian) bahawa segala peralatan/kemudahan persatuan adalah untuk kegunaan ahli-ahli sahaja (kanak-kanak adalah dilarang).

18.4. Hanya dibenarkan menjalankan kegiatan / aktiviti sehingga jam 12.00 tengah malam sahaja.

18.5. Menentukan keadaan premis sentiasa bersih, tersusun dengan memuaskan.